KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Nasional (PTPTN) akan memburu individu berpendapatan tinggi atau jutawan muda yang masih gagal membayar pinjaman pendidikan mereka menerusi pemantauan terhadap artikel yang disiarkan media.
Langkah berkenaan diambil sebagai menyokong usaha PTPTN menjejak peminjam ingkar membayar hutang selepas berjaya mengesan seorang jutawan muda yang berhutang RM10,000 dengan PTPTN menerusi artikel mengenai kejayaannya bergelar jutawan pada usia muda.Ketua Eksekutif PTPTN, Yunos Abdul Ghani, berkata pihaknya akan memantau semua artikel dan kisah berkaitan kejayaan individu terutama golongan muda sehingga menjadi jutawan disiarkan media.
"Kita akan siasat mereka berdasarkan nama yang tertera dan akan mencari padanan jika namanya tersenarai sebagai peminjam yang belum membayar hutang walaupun sudah berjaya.
"Usaha ini akan dilakukan dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi menentukan kesahihan maklumat dari segi alamat terakhirnya dan nombor MyKad," katanya ketika dihubungi Berita Harian di sini.
Mekanisme itu dibuat sebagai antara usaha PTPTN mengutip semula pinjaman berjumlah RM867 juta daripada 38,484 graduan yang menamatkan pengajian pada 1999.
Mei lalu, PTPTN mendedahkan kes seorang jutawan muda yang gagal membayar peminjam pendidikannya selepas terbaca artikel mengenainya di sebuah media cetak dan mendapati namanya tersenarai dalam peminjam ingkar.
Kes beliau hampir difailkan ke mahkamah kerana gagal membayar pinjaman RM10,000 walaupun sudah diberi surat peringatan, ia dibatalkan selepas individu berkenaan membayar keseluruhan jumlah pinjaman PTPTN sebelum saman berkenaan difailkan.
Sementara itu, Yunos berkata, PTPTN akan memfailkan 3,100 lagi saman dalam tempoh terdekat bagi mendapatkan semula sebahagian daripada tunggakan hutang.
Katanya, PTPTN sudah menghantar notis tuntutan kepada peminjam tertunggak yang baru disenaraihitamkan tetapi mereka masih tidak melunaskan pinjaman dalam tempoh ditetapkan.
"Kami sudah serahkan senarai itu kepada peguam selepas mereka gagal menghubungi PTPTN dan ia akan dibawa ke mahkamah dalam masa terdekat selepas selesai proses mengumpul maklumat.
"Bagaimanapun, mereka yang termasuk dalam senarai itu masih boleh menghubungi kami jika mahu melakukan pembayaran sebelum ia dibawa ke mahkamah," katanya.
Keputusan memfailkan saman di mahkamah dibuat PTPTN sejak Februari lalu bagi mengutip semula pinjaman berjumlah RM867 juta daripada 38,484 graduan yang menamatkan pengajian pada 1999.
Peminjam terbabit berusia antara 30 hingga 35 tahun dan ada antara mereka sudah menjadi doktor, peguam, pegawai bank dan eksekutif dengan menerima gaji antara RM3,500 hingga RM5,000 sebulan.
Yunos berkata, jumlah terbaru itu adalah tambahan kepada saman secara berperingkat yang dilaksanakan PTPTN dan hingga 26 September lalu, 1,567 saman sudah dikeluarkan.
"Lebih banyak saman akan dikeluarkan kerana ini cara terakhir untuk mendapatkan semula pinjaman dan disebabkan mereka, kami terpaksa menanggung pelbagai kesulitan untuk menaja pelajar lain pada masa depan," katanya.
Source: Berita Harian



The News


